Followers

Saling berbagi rasa dalam menitip kata-kata terindah yang 'kita' punya...
Puas kurenung puas kufikirkan
semakin lama semakin membingungkan
membawa sedih hati kemurungan
bila kekasih berubah haluan,
tinggallah aku sendiri kesepian
menangis berhiba tiada kulagukan
ditelan ribut salji di pergunungan
di banjaran tinggi hati kebekuan,
relalah aku akan sebuah ketentuan.

>>>

Senja hampir pergi
telah kusiapkan sebuah puisi
untuk seorang permaisuri
bahawa hati ini
sejak dulu dan kini
menyerah cinta suci
untuk dirimu sehingga akhir nanti
biar siang dan malam silih berganti
kasih ini teguh menyebati...

>>>

Sehari lagi berlalu pergi
malam-malamku sunyi mendampingi
tiada hiruk tiada pikuk berbangsi
hanya sepi menemani
langkahanku si pengembara di lubuk suci
berbekalkan seruling hati
kulabuhkan bahtera sanubari
mencari erti
dan realiti sebuah mimpi.
Semuga aku bermimpi bertemu puteri fantasi.

>>>

Kalau aku
ya! Kalau aku,
kalau aku mahu bercinta lagi
menggatal dan ada hati
mahu merasai 'kejatuhan' cinta lagi,
aku mahu bercinta di luar mukabuku ini
dekat di mata dekat di hati
bukan dekat di hati tapi jauh di mataku ini
lebih senang aku dekati
lebih senang untuk aku gigiti
bergurau pun
boleh kucucuk pinggangnya - sesekali,
kalau di dalam mukabuku ini
bukan sahaja tiada serasi
malah!
Macam itik serati dan ayam turki
salah tulis bercakaran tiap-tiap hari
nak makan bersuap mulut pun
rasanya,
tak akan mampu aku rasai.
Nah! Itu kalau aku,
kalau kamu semua macam mana ya?
Jangan macam-macam, ha!.

>>>

Ingin sekali aku pergi
jauh darimu
tapi aku tidak mampu
kerana aku tahu
sejauh mana pun aku pergi
aku hanya tidak melihatmu
namun kenangan kita akan tetap bersamaku
tidak akan hilang
sepertimana aku kehilanganmu.

>>>

Usah termenung sayang
bermuram durja berhati walang
perpisahan kita hanyalah sepetang
bukan pengakhiran
bukan juga titik kecundangan
sebuah cinta yang kita perjuangkan.

Aku akan pulang
pulang dengan kemenangan
demi cinta yang aku lahirkan
selamanya akan aku perjuangkan
selagi nyawa dikandung badan
dan rindu yang semakin terhidang.

Jadi usahlah sayang
usahlah bermuram durja berhati walang.

>>>

Simfoni alam sedang mendayu
cengkerik dan katak berduetkan lagu
berpadu suara berdendang merdu
opera pilu bersketsa rayu,
namun rerama datang bertamu
menyentap resah membangkit syahdu
bayu menampar di relung kalbu
rentak dialun kocak hatiku.
Nyanyian alam berlagu rindu.

>>>

Kutitipkan salam di angin lalu
buat menyapa dirimu insan kesayanganku
di tirai malam di kamar raduku
rembulan bersinar cahayanya membiru
bertitisan embun kelopak mataku
mutiaranya gebu berbutiran rinduku.
Sedih dan pilu di sendu jiwaku.

>>

Telah kucuba, melupakan kenangan semalam yang
menghimpit sepi di peraduan hati.

Namun sunyi, namun sunyi semakin menyeksa dan
menghambat diri, memanggil aku mengingati kembali
kisah-kisah silam yang membangkitkan rindu, rinduku
terhadapmu.

Di malam ini, aku menangis lagi kerana ketandusan
hati.

>>>

Aku,
aku masih diriku yang dahulu
masih seorang perindu
di dalam penantian menanti dirimu
di sebalik kabut berjerebu
yang semakin melemaskan rindu
melemaskan aku,
di pundak bermuara sungai hatiku
di mahligai cintaku
di situlah aku
termangu dan terbelenggu
akan firasatku
cinta dan rindu memanggil namamu,
ahh, aku!
aku masih lagi aku yang dahulu
aku masih lagi merinduimu
masih lagi, cinta padamu.
Itulah aku,
hanya seorang aku.

>>>

Tercegat di danau rindu
tak tahu
arah mana pilihanku
di kiri dan kanan laluannya berliku
menanti setiap langkahanku
di hadapanku
beranjau onak semambu
bakal menyekat kudrat kejantananku
di belakangku
laluannya berkabus tebal dan berjerebu
penuh dedebuan pilu
menghantui igauan semalamku.

Ahh!
Aku masih lagi tercegat di danau rindu
tak tahu arah mana tujuanku.

>>>

Wahai perasaan
berapa lama harus kau pendam
ingin dikasih dicinta dan disayang
tapi kau tetap karam
dilautan dalam kau terus direndam
berkurun lamanya tanpa dendam
tanpa keluhan tanpa kesalan
tetap berdoa sebuah harapan
memberi setitik belaian

Duhai teman
kau lihat aku selalu riang
hilai tawa disetiap gurauan
tahukah engkau disebalik senyuman
tersimpan seribu luka kesunyian
sekadar menutup sebuah kehidupan
yang tak pernah kau tahu apa yang terpendam

Ya! Tuhan ku
apakah ini suatu hukuman
kepada aku yang bernama insan
atau sebuah ujian
untuk aku belajar erti sebuah kesabaran
yang penghujungnya akan Kau hadiahkan
kebahagiaan yang terlalu aku dambakan

Ya! Allah
andai ini sudah Kau takdirkan
aku tidak tahu rahsia apa Kau sembunyikan
aku pasrah aku redha dalam pengharapan
sesungguhnya kasih Mu cinta Mu
terlalu agung untuk aku abaikan........

>>>

Kuwarnakan hari-hariku
dengan kilauan senyuman
bak berlian memancar
walau tersembunyi
dalam kegelapan.
Kubiarkan haruman
semerbaknya terhidu
di segenap ruang
mengiring langkahmu
berserta iring doa
tanda kasih
untukmu.

>>>

Aku lebih senang berpuisi
mengikut rentak di hati
terkadang orang tak mengerti
aku menangis dalam sepi.

Hanyalah dalam puisi
aku tempiaskan kesah di hati
agar karang tidak terjadi
aku menangis bersembunyi.

Orang tengok aku 'happy'
bagai tiada dugaan menyinggahi
namun di sebalik bicara hati
aku menangis bersendiri.

Terkadang aku berbicara sendiri
untuk menghiburkan diriku ini
merencahkan asam garam di hati
aku menangis kerana sepi

Harus bagaimana lagi?
Aku pamerkan kesabaran ini
sedangkan di dalam hati
memberontak minta dimengerti

>>>

Baru hendak melangkah
terjelepok ke tanah
ledakan menyinggah
letusan menyanggah

angin basah
di segenap arah
menampar resah
di jiwa berdarah

ahh!...parah
kasih yang diserah
berpaling tadah
soldadu menyerah

hatiku pasrah.

>>>

Biarlah
pemergianku di ufuk letah
mengusung serpihan janji
kuterima seadanya ini
kerikil pedih di perdu hati
biarlah kulemas di lautan dalam
tegarnya karang menyambut
mendakap sekeping jiwa nan bindu
biarlah rajuk ini melewati hatimu
rencam dipalu ombak derita
merasa secangkir tangisan
di tasik keharuan nan pasrah
seluhur jiwa sesuci kasih
terpasung di banir setia
menanti rajuk
kelu dan bisu

Nukilan Bentayan Moden

No comments:

Post a Comment