Hujan turun rintik-rintik
Air mula bergelora
Lihat hujan rupanya cantik
Senyum hilang lara
<<<
Malam tadi kupasang pelita
Kunyalakan apinya terang segala
Ruang yang sempit jadi semesta
Tapi takkan abadi sampai bila-bila
Pagi ini kuoborkan unggun
Dicurahkan cahaya mentari serimbun
Biarlah sepadu serta anggun
Sebelum pergi setianya embun
Petang nanti tak tahu nasibnya
Entahkan cerah atau basah menimpa
Sediakan payungan sebelum padahnya
Bermohon kepada NYA tidak lupa
>>>
Mengapa mudah mendengar
Berita yang berpanah ke telinga
Sedangkan kautahu itu tidak benar
Cerita yang curang tiada keadilan
Kosong kesaksamaan
Tidakkah kaumerasakan
Betapa cintanya amat dalam
Serta batinnya tidaklah kejam
Sepertimana yang mereka hikayatkan
Pergilah mencari dia yang telah kejauhan
Apakah sebenarnya yang kau mahu
Sehingga wajahmu berubah pucat
Bagai jembalang dan hantu
Bukan lagi perihalmu yang sebelum ini
Nah cerminkan hatimu dulu
~ Selamat malam
>>>
Ada apa di hujung jari
Sekali tekan keluar seabjad
Banyak kali tekan puluhan mendapat
Kisah dari sana di sini tahu
Kisah dari sini di sana pun begitu
Nak melamar dara senang sangat
Nak memiliki teruna mudah amat
Hikayat yang palsu bertalu-talu
Menjadi tetamu boleh jadi guru
Warkah yang benar terkadang diragui
Tersebar harum ada masanya dimusuhi
Demikianlah riwayat alam nan canggih
Bagai ditabur jutaan cengkih
>>>
Senyuman yang manis
Bak bunga mengandung madu
Memikat jantung dan menawan kalbu
>>>
Mega putih berarak perlahan
Membawa titisan ke arah timuran
Sedang mendung berbayang-bayang
Hatimu merintih kepada Tuhan
Mengharapkan manisan indah khabaran
Duka dikandung dek kasih dan sayang
Gugur rahmat satu-persatu
Bertukar lebat memyuburkan halaman
Riak renyainya jernih pun pecah
Dipeluk nikmat yang mendapat restu
Cabarannya hebat oleh yang beriman
Pesona pancarannya sekalipun diacah
>>>
Kudrat yang masih berkawal
Tidak terlalu lewat tidak juga awal
Membawa ke puncak kenyataan
Bukan dalam keterpaksaan
Selangkah memasuki alam khayalan
Bermula seruan dari dalam hati
Yang diikhlaskan melalui doa
Tapi tak perlu dipersoalkan
Tentang keikhlasan ini
Hal yang serupa akan berlaku
Terhadap yang menyukai cerita baru
Tanpa bersusah payah memburu
Sekalipun laluannya berliku
>>>
Basahkah cinta di ambang kasih
Menyerupai cintamu yang dulu
Apakah engkau akan mengerti
Setiap sebutan bertanda di hati
Bukannya ku tak tahu
Engkau begitu cemburu
Terhadap cintaku yang baru
Berombak mesra tak rugi kurasa
Pergilah engkau kepada dia
Yang sedang menggemilangkan
Hubungan anda berdua
Singkirkan saja ingatan dahulu
Sedikit pun tak kusimpan di kalbu
Nukilan Suffian Ismaul Hamzah
No comments:
Post a Comment