Followers

Saling berbagi rasa dalam menitip kata-kata terindah yang 'kita' punya...
Jikalau sudah namanya tiong
Takkan bertukar menjadi merbah
Jikalau sudah bersilat gayong
Cinta mekar tak mungkin berubah

Pandai tukang rumah jadinya
Rumah tak siap nak duduk mana?
Andai lekang kerana panasnya
Berserban ketayap dapatkah lena?

>>>

Bunga kembang indah dipandang
Cantik dengan seri budinya
Cinta abang datang berdendang
Kasih gerangan buat adiknya

>>>

Engkau rebah dalam pelukan sendiri
Tiada tangisan yang runtuh pergi
Tersekat sang jernih ke pipi
Peluh kesabaran diam kini
Sesunyi fajar yang dinanti

Ikhtiar dan penawar engkau petikkan
Bukan untuk diminum atau dimakan
Sebagai penguat dasar kebatinan
Memaku ketakwaan dan ketauhidan
Bermohon kepada NYA engkau yakinkan

>>>

Tercarik kulit yang putih
Nampak isi merah juga
Tersiat kulit yang hitam
Hasilnya sama adanya
Kaki rakyat terpijak paku
Merah darahnya
Terluka gusi raja
Terasa kesakitannya
Ada apa di sebalik pancasona
Masih bererti jika adanya sirna
Di mana telapak memijak bumi
Kepala tetap basah dek hujan
Pandai akal atau pendekar
Dibebani masalah tertampar sama
Sekalipun bertelanjang seorang di dalam gelap
DIA tetap Maha Melihat

>>>

KASIH SEJATI

Manggar cinta rendang kehujanan
Tidak berbatas pelamin mimpi
Menggegar cerita dipandang keihsanan
Gelodak bercantas di cermin sepi

Sama pinang dibelah dua
Sekembar sirih serupanya ada
Gema senda beralah jua
Selembar kasih kanda adinda

Gegak-gempita berkompang di hati
Berjoget lambak tarian jiwa
Segak jelita berselempang sejati
Senget atau rabak tetap ketawa

>>>

Berpuisi buat hiburkan hati
Di dalam riang juga sunyi
Masa yang lewat mampu mengerti
Biarpun bayang datang bernyanyi

>>>

Kasih di jiwa
Kasih di hati
Bersatu jua
Dalam sebati

>>>

Katanya tiada duit tiada cinta
Rupa menarik tidak berharta
Poket kosong nak makan apa
Tiada kerja merayau saja
Nak dikikis buang masa
Tak berguna
Katanya duit boleh beli cinta
Rupa dah berusia janji kaya
Masuk bank ratusan juta
Kerja bagus joli pula
Senang nak dicukurnya
Biar habis satu sen tiada
Ada apa dengan rupa dan harta
Bukan tiket masuk ke syurga
Bukan ukuran hidup bahagia
Badan sedap dan berada
Kalau tiada pegangan agama
Rugi dan sia-sia

Nukilan Suffian Ismail Hamzah

No comments:

Post a Comment